3 May 2014

Cinta Sahabat Akhirat


Ada sahabat di dunia ini yang bila kita bersama dengannya, seringkali mengingatkan kita untuk lebih dekat dengan Tuhan. Mulutnya mungkin tidak pernah berbunyi pun atau berbicara tentang Allah di depan kita, namun amal dan akhlaknya menjadi bicara yang paling mengesani hati kita.


Melihat dirinya, membuatkan kita merasa perlu segera bertaubat dan mengubah diri kita.


Bergaul dengan dirinya membuatkan kita terasa perlu lebih membaiki sikap dan akhlak kita.


Ternampak dirinya melakukan kebaikan, sudah menyebabkan kita terdorong untuk ikut sama melakukannya.


Inilah ciri sahabat yang sebenar, yang mampu menjadi cerminan kepada sahabatnya yang lain, walaupun dengan jarang berbicara.


Siapakah Kita Kepada Sahabat Kita?

Seringkali makna persahabatan yang besar itu menjadi kecil kerana kita salah mengisi ruang di dalam persahabatan itu.

Persahabatan atau persaudaraan itu mengandungi nilai dan makna yang besar sehingga Allah mengaitkannya dengan keimanan.

“Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara …” [Al-Hujurat :10]

“Perumpamaan orang mukmin itu dalam berkasih sayang dan saling mencintai …” sabda baginda s.a.w., “ … adalah seperti batang tubuh. Apabila salah satu anggota tubuhnya berasa sakit, maka anggota tubuh yang lain pun akan merasa sakit.”

Sedemikian besar nilai ukhuwah yang menjadi asas penting dalam kehidupan bermasyarakat, justeru menyebabkan ia mempunyai kaitan rapat dengan iman.

Orang yang bagus imannya, sepatutnya bagus juga hubungannya dengan sahabatnya.

Dia berusaha menjadi sahabat yang baik, memenuhi hak sebagai sahabat, menjaga aib dan maruah sahabatnya serta selalu pula mahu bersama berjuang di atas jalan kebenaran. Ketika dia bercakap dengan sahabatnya, dia berusaha bercakap dengan cara terbaik dan bahasa yang elok agar tidak menyakiti sahabatnya. Ketika dia bergaul, dia tidak mementingkan haknya semata-mata, tetapi mengambil berat juga akan keperluan sahabatnya.

Siapakah kita kepada sahabat kita?

Dan apakah yang kita isi dalam persahabatan kita?

Persahabatan yang berdiri atas asas keduniaan semata-mata, ia tidak akan kekal dan bertahan lama. Persahabatan atas dasar universiti, universiti akan ditinggalkan. Persahabatan atas keseronokan dan gelak tawa semata-mata, tidak akan membawa kita ke mana-mana. Persahabatan atas harta dan kedudukan hanya akan melahirkan lebih ramai orang yang mempunyai hasad dan busuk jiwanya. Hilang harta, maka hilanglah hubungan persahabatannya.

Sebab itu, kita perlu sentiasa melihat apakah yang kita isi di dalam persahabatan kita. Yang kita isi di dalam persahabatan kita itulah yang menentukan nilai persahabatan itu kecil atau besar.



Yang Menjadikan Persahabatan Itu Bernilai.


Hubungan ukhuwah, persahabatan atau persaudaraan ini tidak akan menjadi sesuatu yang bernilai melainkan jika kita ikatnya di atas jalan iman kepada Allah.


Kerana asas lain selain iman tidak akan mampu menjadi pasak yang teguh untuk memelihara kesinambungan ukhuwah, kejujuran dalam bersahabat.


Sebab itu Allah s.w.t. berfirman :


“Teman-teman rapat pada hari itu sebahagian mereka menjadi musuh kepada sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertaqwa.” [Az-Zukhruf : 67]


Di jalan taqwa, kita berusaha menjadi sahabat terbaik kepada saudara-saudara kita. Menjadi sahabat terbaik adalah dengan mula memperbaiki diri dengan Allah, agar di saat kita bersahabat, kita tak terjerumus mempengaruhi orang lain ke arah yang Allah tidak sukai, bahkan mampu menjadi cerminan mithali pula kepada mereka.


Di jalan taqwa, kita dakap sahabat kita seeratnya bila bertemu dan berpisah dengannya, serta tulus melafazkan padanya, ‘aku cintakan engkau kerana Allah’. Cinta di atas jalan Allah mengingatkan kita bahawa ada hak-haknya yang perlu kita tunaikan, ada had dan batas dirinya yang menjadi sempadan.


Di jalan taqwa, kita harus saling mengingatkan dan memberi nasihat, kerana hubungan persahabatan yang berdiri atas semata-mata rasa mahu berhibur dan gelak tawa sahaja tidaklah bermakna apa. Memberi pesanan ke arah kebenaran dan dengan kesabaran, demikianlah Allah menggambarkan sifat orang mukmin yang tidak rugi.

-Langit Ilahi dot com.